Friday 5 June 2015

# Kecemasan

Bantuan asas kecemasan di rumah yang wajib diketahui ibu dan bapa

Pengetahuan asas tentang keselamatan dan bantuan kecemasan di rumah adalah sangat penting dan wajib diketahui oleh ibu bapa dan seluruh anggota keluarga termasuk anak-anak yang masih bersekolah supaya apabila berlaku suatu kemalangan yang melibatkan kecederaan fizikal, rawatan awal dan langkah penjagaan yang betul dapat diberikan kepada mangsa sebelum dibawa ke hospital. Kemalangan boleh berlaku pada sesiapa sahaja dan dimana-mana sahaja. Oleh itu, dengan adanya pengetahuan tentang bantuan asas kecemasan setiap keluarga boleh bersedia dan tidak panik apabila sesuatu berlaku dan boleh bertindak sewajarnya bagi mengurangkan tahap bahaya,  kecederaan dan kesakitan yang dialami.



Definisi kecemasan disini adalah situasi yang melibatkan kecederaan serius yang memerlukan rawatan dengan kadar segera. Bantuan asas kecemasan ini bukanlah rawatan perubatan sebenar tetapi hanyalah pertolongan sementara bantuan dan rawatan perubatan sebenar diperolehi dari mereka yang bertauliah.

Tulang patah dan retak

Boleh berlaku sekiranya jatuh atau dilanggar objek. Untuk mengetahui jika kecederaan melibatkan tulang patah atau retak, perhatikan:
  • Posisi asal tulang berubah/bengkok/membonjol dibawah kulit.
  • Sakit ketika anggota badan digerakkan/disentuh/ditekan
  • Bengkak dan lebam
Bantuan asas kecemasan:
1. Jika cedera parah, segera buat panggilan kecemasan. Antara indikasi kecederaan tulang patah yang parah melibatkan:
  • Mangsa tak sedarkan diri
  • Mangsa pucat, berpeluh dan keliru
  • Pendarahan yang banyak
  • Babitkan bahagian kepala, leher, tulang belakang, pinggul dan pelvik
  • Tulang menembusi kulit
2. Hentikan aliran darah dengan menekup luka dengan kain yang bersih.
3. Jangan gerakkan/alihkan anggota badan yang terbabit. Jika terpaksa alihkan mangsa, minimakan pergerakan anggota tubuhnya.
4. Jangan cuba betulkan tulang yang patah ke kedudukan asal.
5. Untuk kurangkan bengkak dan kesakitan, letakkan pek ais yang dibalut tuala nipis disekitar tempat yang terbabit.
6. Mangsa mungkin alami kejutan. Perhatikan kulit yang pucat, tak sedarkan diri/separa sedar, nadi lemah, mata kaku dan loya. Jika berlaku sedemikian:
♧ baringkan mangsa dan tinggikan kaki
♧ jika mangsa muntah, iringkan tubuhnya
7. Tunggu ambulans tiba atau bawa mangsa ke hospital dengan segera.


Digigit serangga/binatang berbisa

Perhatikan bekas gigitan, bengkak dan kemerahan dan sakit bila disentuh/ditekan. Mangsa mungkin mengalami reaksi alahan seperti sukar bernafas, loya dan muntah

Bantuan asas kecemasan:
1. Buang sengat yang masih melekat pada kulit secepat mungkin.
2. Bersihkan tempat luka dengan air suam atau antiseptik dan keringkan dengan kain lembut.
3. Letakkan pek ais disekitar kawasan yang disengat bagi mengurangkan bengkak dan kesakitan.
4. Jangan picit atau urut bahagian yang disengat kerana bisa mungkin merebak ke bahagian lain dalam salur darah. Kurangkan aliran darah
5. Bagi gigitan binatang berbisa, jangan hisap, cuci atau potong bahagian yang terbabit. Kurangkan aliran darah ke bahagian tersebut.
6. Jika perlu dapatkan rawatan hospital, buat panggilan kecemasan atau bawa mangsa ke hospital dengan segera.


Terkena air panas /melecur

Melibatkan kecederaan pada tisu kulit akibat terkena cecair bersuhu tinggi atau terbakar

Bantuan asas kecemasan:
1. Alihkan punca yang menyebabkan kecederaan.
2. Secara perlahan-lahan buang pakaian, rantai/gelang/cincin, jam tangan dikawasan yang terbabit kecuali yang melekat pada kulit.
3. Segera sejukkan tempat yang tercedera dengan air. Rendam di dalam bekas atau letakkan di bawah aliran air paip yang perlahan.
4. Jangan pecahkan kulit yang menggelembung/melepuh.
5. Jika perlu balut, balut dengan kain nipis dan lembut yang takkan melekat pada luka. Jangan gunakan kapas atau kain yang boleh melekat.
5. Segera bawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya.


Renjatan elektrik

Berlaku apabila arus elektrik mengalir dari sumber elektrik melalui tubuh. Terkena renjatan elektrik boleh menyebabkan degupan jantung terhenti, terbakar dan renjatan

Bantuan asas kecemasan:
1. Arus elektrik boleh bergerak melalui sentuhan. Sebelum bertindak menyelamatkan mangsa, pastikan diri sendiri dilindungi dari aliran arus elektrik. Utamakan keselamatan.
2. Segera tutup sumber utama elektrik.
3. Buat panggilan kecemasan.
4. Jika terpaksa mengalihkan mangsa, pastikan anda menggunakan alat yang tak boleh alirkan arus elektrik seperti kayu, getah, kertas dan tembikar. Jangan dekati mangsa/kawasan kejadian jika lantai basah.
5. Jika mangsa terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi seperti kabel elektrik, jarakkan diri anda sejauh 20 kaki. Hanya ahli bomba dan penyelamat yang boleh bertindak.


Lemas

Kanak-kanak secara semulajadinya memang sangat suka bermain air. Mereka cepat, sifat ingin tahu yang tinggi tapi masih belum faham erti bahaya. Sebagai orang dewasa, jangan biarkan anak-anak bermain air bertakung seperti besen, tong,tangki dan kolam sendirian.

Bantuan asas kecemasan
1. Segera keluarkan mangsa dari air. Buat panggilan kecemasan.
2. Baringkan mangsa, dongakkan kepala dan angkat dagu untuk buka salur pernafasan. Dekatkan telinga anda pada mulut dan hidung mangsa untuk periksa pernafasan. Dengar, tengok, rasa dan perhatikan tanda-tanda mangsa masih bernafas.
3 Jika tiada pernafasan:
Bagi bayi bawah 1 tahun ~ letakkan mulut anda di hidung dan mulut mangsa dan beri pernafasan untuk 1 saat. Perhatikan turun naik dada.
Bagi kanak-kanak 1 tahun keatas ~ picit hidung mangsa dan letakkan mulut anda pada mulut mangsa. Beri pernafasan selama 1-2 saat dan perhatikan turun naik dada sebelum ulang bantuan pernafasan.
4. Jika dada naik, periksa nadi. Jika masih tiada nadi, dongakkan kepala mangsa dan ulang bantuan pernafasan.
5. Periksa nadi. Letak 2 jari pada leher mangsa, untuk bayi antara siku dan bahu dan tunggu selama 5 saat. Jika masih tiada nadi, ulang bantuan pernafasan setiap 3 saat.
6. Bagi bayi bawah 1 tahun ~ letakkan 2 jari pada tulang dada mangsa dan tekan untuk 5 kali (3saat setiap kali) dan beri bantuan pernafasan. Bagi kanak-kanak 1 tahun keatas ~ guna tapak tangan dan tekan dada mangsa 5 kali. Ulang periksa nadi dan bantuan pernafasan hingga mangsa boleh bernafas dengan sendiri atau bantuan tiba.


Setiap rumah sepatutnya mempunyai sebuah kit kecemasan yang berfungsi. Dalam kit kecemasan sebaiknya ada:
1. Pengesat dan pembalut kain kasa yang disteril
2. Plaster
3. Kain segi tiga (anduh)
4. Termometer
5. Gunting
6. Klip keselamatan
7. Ubat/losyen gatal
8. Antiseptik
9. Ubat demam, selsema, penahan sakit

Sentiasalah berwaspada walau dimana kita berada. Kemalangan boleh berlaku dalam pelbagai cara dan pada sesiapa sahaja. Bantuan asas kecemasan dirumah wajib diketahui bukan sahaja oleh ibu dan bapa malah setiap anggota keluarga. Jangan panik! tindakan pantas dan betul dalam memberikan bantuan kecemasan boleh menyelamatkan nyawa.


No comments:

Post a Comment

Follow Instragram Jana_Hazana